Syarat-Syarat Asas Permohonan Biasiswa

Syarat-Syarat Asas Permohonan Biasiswa  | Memang tidak dinafikan, tawaran tajaan biasiswa amatlah sedikit jika dibandingkan dengan keseluruhan jumlah pelajar yang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi. Oleh itu, persaingan untuk mendapatkan tajaan sangat sengit, terutamanya untuk biasiswa-biasiswa popular seperti biasiswa JPA, biasiswa Mara dan biasiswa Petronas.

Kerana itulah, beberapa syarat asas telah diletakkan oleh setiap penaja untuk menapis calon-calon yang betul-betul layak dan memerlukan tajaan tersebut. Syarat-syarat yang diletakkan mungkin berbeza antara satu penaja dengan penaja yang lain. Namun, beberapa syarat umum yang biasanya di lihat adalah:



1. Kecemerlangan akademik

Mempunyai keputusan akademik yang cemerlang menjadi pra-syarat utama yang dilihat oleh para penaja untuk memilih calon yang sesuai. Lihatlah kepada mana-mana tawaran biasiswa, antara ayat-ayat yang sering terdapat dalam syarat-syarat permohonan adalah seperti "Mendapat minimum 7A dan semua A dalam matapelajaran teras SPM" ataupun "Mendapat sekurang-kurangnya CGPA 3.5 ke atas". Anda setuju? Jadi, pastikan anda sentiasa berusaha untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang supaya peluang anda untuk mendapatkan tajaan biasiswa terbaik terbuka luas.

2. Kegiatan kokurikulum

Walaupun ada penaja biasiswa yang tidak meletakkan syarat-syarat aktif kegiatan kokurikulum dalam tawaran mereka, tetapi hakikatnya perkara inilah yang sering dinilai selain daripada kecemerlangan akademik dalam memilih calon-calon tajaan. Kebolehan memimpin, sumbangan dan keterlibatan aktif dalam aktiviti-aktiviti persatuan, kelab atau kerja-kerja kemasyarakatan memberi impak yang besar ke atas penilaian seorang pelajar oleh penaja biasiswa. Pelajar yang cemerlang seharusnya cemerlang dalam kedua-dua bidang kurikulum dan kokurikulum, dan kriteria inilah yang dicari oleh penaja-penaja biasiswa.

3. Latarbelakang sosioekonomi

Sesetengah penaja turut melihat kepada latarbelakang keluarga atau sosioekonomi pemohon-pemohon sebelum memilih bakal calon tajaan. Contohnya seperti tempat tinggal samaada di bandar atau luar bandar, latabelakang pendidikan pemohon, pekerjaan ibubapa dan jumlah pendapatan mereka. Walaupun kriteria ini tidaklah signifikan dan tidak boleh diubah, namun turut memainkan peranan dalam penilaian ke atas pemohon. Tetapi, harus diingat, pemohon hendaklah mengisi dan memaklumkan maklumat-maklumat yang betul semasa memohon tajaan. Janganlah cuba untuk menyembunyikan sebarang maklumat. Jika tertangkap, anda mungkin akan disenaraihitamkan.

4. Anak kakitangan

Penaja-penaja biasiswa terutamanya syarikat-syarikat swasta mengutamakan pemohon-pemohon yang merupakan anak kepada kakitangan syarikat. Walaupun kedengaran seperti tidak adil, namun inilah cara syarikat tersebut menghargai sumbangan yang telah diberi oleh kakitangan mereka. Jadi, sekiranya ububapa anda bekerja dengan syarikat-syarikat yang ada menawarkan biasiswa, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan biasiswa tersebut. Bagi yang bukan anak kakitangan, tidaklah bermakna peluang anda tertutup terus. Anda masih boleh cuba memohon. Mana tahu, ada rezeki anda.

5. Sesi temuduga

Setelah menerima dan menyaring permohonan yang diterima, pihak penaja biasanya akan menyenaraipendekkan calon-calon yang berpotensi untuk dipanggil ke sesi temuduga. Sesi temuduga adalah berbeza-beza antara setiap penaja. Ada yang mengambil masa sehari sahaja, ada yang sehingga beberapa hari, ada yang melibatkan sesi soal jawab individu, ada yang melibatkan perbincangan kumpulan dan lain-lain. Pokoknya, adalah untuk menilai ketrampilan, karisma dan kebolehan calon-calon. Maklumlah, memilih calon tajaan adalah seumpama memilih potensi pekerja untuk penaja. Jadi, semestinya penaja akan mencari yang terbaik dari kalangan yang terbaik. Pencapaian calon semasa sesi temuduga adalah faktor yang paling penting dalam memastikan kejayaan mendapat biasiswa. Oleh itu, jika anda berjaya dipanggil untuk sesi temuduga, pastikan anda bersiap-sedia sepenuhnya. Jangan lupa untuk dapatkan panduan dan tips menghadiri temuduga biasiswa untuk membantu anda.

6. Kursus pengajian

Beberapa penaja telah menetapkan tajaan untuk pelajar-pelajar kursus-kursus tertentu sahaja. Sebagai contoh, bank-bank semestinya menawarkan tajaan untuk pelajar kursus berkaitan pengurusan kewangan, akaun dan perniagaan sahaja. Syarikat-syarikat minyak dan gas pula akan memilih calon-calon pengajian kursus berkaitan kejuruteraan. Manakala syarikat farmaseutikal akan lebih cenderung dengan calon-calon yang memilih kursus berkaitan farmasi dan sains. Jadi, pilihlah penaja-penaja yang sesuai dengan kursus yang anda ambil.

7. Lain-lain

Antara syarat-syarat lain yang mungkin diletakkan oleh penaja adalah seperti kewarganegaraan, taraf bumiputera, jantina, tempat pengajian, taraf kesihatan dan beberapa sijil pencapaian yang perlu diperoleh oleh bakal-bakal pemohon. Jadi, telitilah betul-betul syarat-syarat yang diletakkan agar anda memilih biasiswa yang sesuai dengan anda.

Comments

Popular posts from this blog

Pengenalan Biasiswa

Syarat Permohonan Biasiswa JPA Ijazah

Biasiswa Yayasan Tenaga Nasional - Pinjaman Boleh Ubah